ANAK usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Vida iaitu Cik B, akhirnya disahkan bebas virus Covid-19 setelah menjalani proses kuarantin kendiri selama 10 hari di kediamannya.
Berita tersebut dikongsi Vida menerusi Instagramnya, yang memberitahu doktor mengesahkan bahawa Cik B telah pulih daripada jangkitan Covid-19 selepas membuat ujian calitan kelmarin.
“Alhamdulillah Cik B. Berkat doa, tips dan petua semua. Kunyah multivitamin. Cik B dah bebas Covid-19.
“Doktor dah swap test (ujian calitan) untuk betul-betul pastikan Cik B negatif. Syukur kerana cepat sembuh. Terima kasih doktor,” tulisnya.
Kata Vida, dirinya juga mengalami sedikit trauma selepas anak kesayangannya disahkan positif Covid-19.
“Sebagai ibu, saya sangat trauma. Alhamdulillah Cik B tidak ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya.
Sebelum ini, Cik B atau nama sebenarnya Edlynn Zamileen Mohd Amin disahkan positif Covid-19 pada 19 November lalu dan menjalani kuarantin kendiri.
Cik B dilaporkan mengalami simptom hilang deria bau selepas dirinya dijangkiti virus tersebut selepas membuat ujian calitan. – Malaysiapost

