
PELAN Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ bukanlah sekadar pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pelan berkenaan merangkumi lima strategi utama dalam usaha mengembalikan semula impian asal tentang perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.
Menurutnya, Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.
“Ia bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip terkandung dalamnya.
“Pelan ini bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelan Tindakan Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen, KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.
Lima strategik utama itu merangkumi:
Teras Strategik 1: Memelihara Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan.
Teras Strategik 2: Membentuk Masyarakat yang Menghargai dan Mengamalkan Perpaduan
Teras Strategik 3: Memperkasakan Sosio-Ekonomi Yang Adil dan Saksama
Teras Strategik 4: Menjamin Keterbukaan dan Toleransi Terhadap Perbezaan Agama dan Tradisi Kebudayaan
Teras Strategik 5: Membina Masyarakat Progresif Melalui Sains, Teknologi dan Inovasi.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi.
Katanya, ia mampu memanfaatkan Keluarga Malaysia merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.
“Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.
“Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membantuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Justeru, Ismail Sabri berharap, Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique, akan memandu Keluarga Malaysia memahami makna perpaduan dalam skop lebih luas dan inklusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.
“Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, perlu kita bersama-sama dengan fikiran dan dada yang terbuka menerima persamaan dan tidak terlalu menekankan perbezaan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara kerana telah merealisasikan konsep Keluarga Malaysia dalam bentuk program yang spesifik dan konkrit dalam memperkasa perpaduan dan integrasi nasional,” katanya. – Malaysiapost
