Isu harga barang: Najib cadang beri subsidi gaji pekerja tempatan

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan segera melaksanakan skim subsidi kepada pekerja tempatan dalam sektor pengeluaran makanan asas dalam usaha mengatasi kenaikan mendadak harga barang.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata cadangan itu sudah diutarakannya beberapa hari lalu, bagi mengurangkan kos pengeluaran dan juga meningkatkan minat warga tempatan terlibat dalam bidang terbabit.

“Ramai pekerja asing telah pulang setelah pandemik bermula. Pengambilan buruh dari negara asing juga telah disekat dalam tempoh itu.

“Akibatnya, banyak sektor termasuk sektor makanan sedang menghadapi kekurangan tenaga kerja yang memberi impak kepada pengeluaran.

“Sebab pengeluaran dan bekalan turun maka harga naik. Masalah yang sama juga dihadapi oleh hampir semua negara dalam dunia,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Najib berkata, akibat terdesak, sebahagian pengeluar makanan tempatan juga terpaksa mengambil pekerja tempatan atau mengambil pekerja asing dari sektor-sektor lain dengan menawarkan gaji yang lebih tinggi.

Katanya, selian memberi subsidi kepada pekerja tempatan, kerajaan juga perlu membenarkan semula pekebun, penternak dan nelayan untuk mengambil pekerja asing sekiranya mereka masih gagal mengambil pekerja tempatan.

“Berhubung dengan ini, saya saran warga tempatan untuk tidak memilih pekerjaan dan pertimbangkan pekerjaan dalam sektor pertanian dan penternakan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib turut menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertimbangkan serta-merta peruntukan bagi subsidi gaji yang dicadangkan.

“Menteri KDN (dari PPBM) juga patut membuat keputusan serta-merta membenarkan semula pengambilan pekerja asing bagi sektor makanan jika pengeluar makanan asas masih gagal menyelesaikan masalah kekurangan pekerja.

“Jangan teragak-agak lagi. Saya telah memberi amaran sejak bulan Jun lalu bawah kerajaan PN terdahulu bahawa inflasi (terutamanya harga makanan) akan menjadi masalah besar pada bulan-bulan mendatang,” katanya.

Najib menjelaskan kegagalan kerajaan bertindak akan menyebabkan isu kenaikan harga barang bertambah parah.

“Bagi penyelesaian jangka masa panjang, setiap negeri perlu juga untuk menyediakan tanah bagi skim pertanian ala FELDA.

“Ia untuk memberi peluang kepada generasi baharu peneroka pertanian khususnya kepada pengeluaran makanan seperti disaran saya dalam Dewan Rakyat pada tahun lepas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here