KKM tidak tolak kemungkinan dos penggalak jadi pelengkap vaksin – KJ

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan tidak menolak kemungkinan untuk menerima dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai syarat untuk seseorang lengkap vaksinasi, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Khairy perkara itu dalam pertimbangan memandangkan wujud risiko gelombang baharu seperti kemunculan varian Omicron, penurunan kesan vaksin dalam badan penerima, serta rakyat yang mula leka dan alpa dengan prosedur operasi standard.

Jelas beliau, perkara itu akan diputuskan selepas Malaysia menilai pengalaman negara-negara lain yang telah melaksanakan langkah tersebut, lapor Astro Awani.

“Soalan dia, sama ada kita akan buat keputusan, kalau tidak ambil dos penggalak kira tak lengkap? Kita sedang kaji pengalaman di negara lain, ada negara yang buat keputusan bahawa dos penggalak ini diperlukan untuk seseorang dikategorikan sebagai penerima dos lengkap, atau penerima vaksinasi lengkap.

“Kalau kita dapati kes meningkat dan kemasukan ke hospital meningkat, disebabkan keengganan orang untuk terima dos penggalak, dan sudah menjadi norma antarabangsa untuk mereka mensyaratkan vaksinasi lengkap itu penerima series primer, dan dos penggalak, maka kita akan membuat keputusan yang sama, katanya dalam temu bual disiarkan secara langsung, malam ini.

Dalam pada itu, Khairy mengakui ‘WhatsApp group’ warga emas antara cabaran besar kerajaan dalam memberikan dos penggalak kerana berlaku penyebaran berita palsu secara berleluasa.

“Ancaman paling besar program Booster ni adalah WhatsApp group warga emas. Sebab macam-macam berita palsu dalam tu. Mak saya sendiri nak ambil booster dose minggu depan, dia hantar dekat saya macam-macam diterima. Selamat ke, ada kesan sampingan ke, perlu ke ambil… macam-macam.

“Jadi kita faham (penjelasan) sains semua ini, mungkin ramai sukar untuk memahaminya, kena sampaikan dengan kaedah mudah untuk difahami. Mereka kena keluar dari WhatsApp group tu,” katanya secara berseloroh.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata, Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) di bawah Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) telah mengesyorkan dos penggalak melibatkan tiga jenis vaksin diberikan kepada semua penduduk berumur 18 tahun dan ke atas.

Katanya, dos itu ialah vaksin Comirnaty, AstraZeneca dan CoronaVac, dengan keutamaan penerima mengikut turutan umur, petugas barisan hadapan, individu dengan komorbiditi, wanita hamil dan keperluan ke luar negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here