PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta menukar Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang gagal dalam isu kenaikan harga barang yang didakwa berlaku masa kini, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata menteri terbabit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilihat cuma berlengah tanpa mengambil tindakan tegas dan pantas berhubung isu berkenaan.
“Saya kesal dengan siri kenyataan menteri bahawa ‘harga barang masih normal’ dan beliau kononnya telah mencapai 100 peratus sasaran KPI bagi KPDNHEP.
“Ini membuktikan beliau tidak berpijak di bumi yang nyata dan tidak prihatin akan nasib serta rasa sengsara ahli-ahli ‘Keluarga Malaysia’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi berkata, berdasarkan laporan media rakyat sangat terkesan dengan peningkatan harga barang yang mendadak, sama ada harga sayur, roti, ayam, alat gantian kereta, bahan binaan, ais dan pelbagai barangan lain.
Katanya, malah baru-baru ini pengumuman bahawa kos menunaikan haji juga bakal meningkat amat mengecewakan.
“Namun sehingga kini kita cuma mendengar alasan demi alasan dan melihat tindak balas lembab Menteri dan Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini banyak golongan yang tertekan kehilangan pekerjaan dan ramai yang memilih mengeluarkan wang hari tua dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau meminjam dari pihak yang tidak sepatutnya.
Tambahnya, selain itu Perdana Menteri sendiri perlu menyatakan apakah langkah yang akan diambil kerajaan untuk segera menjamin harga barang dapat dikawal. – Malaysiapost
