TIADA siapa yang percaya dan meletakkan harapan kepada pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk ‘pergi jauh’ musim ini.
Ianya diakui ketua jurulatihnya Bojan Hodak yang berkata, sebelum musim bermula, tidak ada sesiapa yang percaya pasukannya akan mencapai sesuatu tahun ini.
Menurutnya, hanya seorang sahaja yang yakin dengan pasukan ini iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Stanley Bernard.
“Tiada siapa yang percaya kami akan capai sesuatu kecuali CEO. Ia merupakan perkara yang hebat buat kelab dan pemain-pemain.
“Namun kami bekerja keras dan masih ada satu lagi perlawanan (final), ianya belum tamat,” jelasnya kepada media dipetik Cakap Sukan.
KL City mengesahkan tempat ke final Piala Malaysia 2021 apabila menang 5-3 ke atas Melaka United menerusi penentuan penalti, sekaligus menamatkan badi selama 32 tahun.
Mengulas mengenai perlawanan separuh akhir kedua malam tadi, Hodak menjelaskan pasukannya agak bertuah kerana berjaya mengetepikan Melaka United FC.
“Penalti lebih kepada tuah dan kami bertuah kali ini. Ya, ketika latihan kami ada berlatih sepakan penalti, tetapi bagi saya penalti hanyalah berkaitan dengan mental.
“Saya memutuskan lima orang pemain yang ambil penalti. Sebenarnya tujuh pemain menawarkan diri untuk mengambil penalti termasuk penjaga gol.
“Kami membuat sedikit kesilapan kerana tidak bermain dalam ‘best game’ tetapi kami cuba yang terbaik, dan penghujungnya mereka sudah kepenatan. Namun apa yang penting bagi saya adalah karektor untuk menang malam ini,” katanya.
Perlawanan antara Melaka United dan KL City malam tadi menyaksikan keputusan ditentukan dengan sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat agregat 2-2.
KL City FC bakal berdepan dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Terengganu sekaligus mara dengan agregat 4-1.
Perlawanan akhir yang bakal dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil pastinya mengimbau perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 1985 antara kedua-dua pasukan. – Malaysiapost

