PRN Sarawak: Bersatu mahu runding dengan GPS

0
1

DI SEBALIK keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meletakkan calon di semua 82 kerusi, Bersatu masih mahu berunding bagi menentukan strategi dan persiapan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Ia bagai memberikan gambaran kemungkinan Bersatu akan turut bertanding dalam PRN Sarawak pada 18 Disember nanti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu semalam memutuskan untuk berbincang lanjut bersama parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

“Ini bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021 dan sekali gus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Baru-baru ini Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, GPS akan meletakkan calon di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari setiap parti komponen.

Justeru jelasnya, tidak ada peluang dan ruang yang tersedia buat mana-mana parti daripada Semenanjung untuk bertanding dalam PRN kali ini walaupun GPS mesra Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Hamzah berkata analisis keputusan PRN Melaka minggu lalu membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan kukuh dalam kalangan pengundi.

Katanya, sokongan itu adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti-parti komponennya.

“Susulan itu, Bersatu telah mengenalpasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here