Maklum balas rakyat diperlukan mengenai akta lompat parti, had tempoh jawatan PM

0
1
Pejabat Perdana Menteri (PMO)

KERAJAAN akan menjalankan dua bentuk tinjauan untuk mendapatkan maklum balas dari orang ramai serta Ahli Parlimen berkenaan Akta Anti-Lompat Parti dan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata susulan itu rakyat Malaysia disyorkan untuk menyertai kaji selidik awam yang sedang dilaksanakan berhubung dua perkara itu.

“Saya mengesyorkan rakyat Malaysia untuk menyertai kaji selidik awam bagi mendapatkan pandangan masyarakat umum berkaitan cadangan penggubalan undang-undang berikut.

“Kertas soal selidik yang dilaksanakan oleh Pejabat Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ini akan berjalan sehingga 7 Disember 2021,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, maklum balas orang ramai adalah penting kerana perundangan berkenaan memerlukan kajian dan sesi libat urus yang terperinci.

“Orang ramai boleh mendapatkan kertas soal selidik di pautan: http://apps.bheuu.gov.my/survey/index.php?sid=14384&lang=ms,” katanya.

Terdahulu dalam sidang Dewan Rakyat semalam, Wan Junaidi memaklumkan kedua-dua akta berkenaan akan dibawa ke Parlimen sebelum Julai tahun depan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) berhubung perkembangan terkini Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here