PH tak serius pertahan MOU dengan kerajaan – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak pasti memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan bertahan sehingga Julai tahun depan.

Katanya, ia kerana PH kelihatan tidak serius mahu mempertahankan MOU itu dengan tindakan gabungan terbabit membenarkan kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) Melaka jatuh pada Oktober lalu.

“Kita tidak tahu bahawa MOU itu benar-benar dapat dipastikan (bertahan) sehingga Julai atau tidak.

“Kita dapat lihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka umpamanya, walaupun MOU telah dimeterai, tetapi kerajaan Melaka runtuh juga,” katanya dalam satu program bual bicara, malam tadi.

Turut hadir dalam program itu, Ketua Pemuda PH, Howard Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Perak.

Asyraf Wajdi berkata, kerajaan Melaka runtuh selepas PH berjanji untuk menyokong Datuk Seri Idris Haron menjadi Ketua Menteri di sebalik kedudukan Adun itu sebagai ahli Umno.

Jelas beliau lagi, kerana itu kerajaan Melaka jatuh, seterusnya PRN terpaksa diadakan.

“Kalau benar MOU itu dipatuhi dan dihormati, saya kira tidak timbul soal PRN Melaka walaupun ada empat orang keluar dari kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata kerjasama dimeterai itu terlaksana di peringkat pusat dan membabitkan tatakelola kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, katanya, jika MOU dianggap terbatal mengapa kerajaan tidak mengisytiharkannya berakhir.

“Maka dengan itu cukup untuk saya katakan agar lebih baik kita melihat ke hadapan,” katanya.

Menurut Lee, BN juga dilihat cuba mengelak daripada menunaikan janji dalam MOU tersebut walaupun ia sudah dipersetujui bersama dengan mendesak agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.

Menurutnya, sebahagian besar rakyat tidak mahu melihat satu lagi pilihan raya diadakan semasa jangkitan Covid-19 masih tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here