Kenapa guna Bahasa Melayu di Glasgow, ini jawapan Tuan Ibrahim…

0
1

“KETIKA menghadiri persidangan di Glasgow, Scotland rata-rata pemimpin utama dunia berucap dalam bahasa mereka sendiri,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Susulan itu, dalam usaha mengangkat Bahasa Melayu di persada antarabangsa, Tuan Ibrahim mengambil keputusan memaklumkan kepada urus setia persidangan tersebut bahawa beliau akan berucap dalam Bahasa Kebangsaan. 

“Ketika di Glassgow, saya telah mengikuti beberapa siri rundingan dan kenyataan daripada pemimpin utama dunia. Saya dapat sesuatu iaitu penggunaan bahasa, masing-masing bangun bercakap bahasa mereka. 

“Persidangan antarabangsa ini tiada isu soal penterjemahan. Apa yang boleh kita tengok adalah masing-masing bangun berucap dalam bahasa mereka,” katanya dalam sebuah program bual bicara. 

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberikan respon yang sangat positif selepas video beliau yang berucap dalam Bahasa Melayu tular. 

“Bahasa Melayu adalah bahasa kelima. Seharus kita gunakan lingua franca. Kita sudah terjemahkan ribuan buku daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu supaya bahasa kita ini jadi bahasa akademik. Termasuk bidang undang-undang dan perubatan. 

“Saya rasa sampai masanya kita rasa bangga dengan bahasa kita sendiri. Bahasa jiwa bangsa,” katanya lagi. 

Pada 10 November lalu, Tuan Ibrahim mencuri perhatian selepas tampil berani menggunakan bahasa kebangsaan pada persidangan antarabangsa di Glasgow, Scotland. 

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here