AHLI Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Melaka dilantik daripada gabungan muka baharu dan lama dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata barisan Exco Melaka kali ini mengandungi gabungan wakil-wakil dari parti Umno, MCA dan MIC.
Menurutnya, gabungan itu membentuk sebuah kerajaan negeri yang melambangkan perpaduan dan kerjasama antara semua kaum yang ada di Melaka.
“Pagi tadi saya telah mengadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk mendapat persetujuan senarai Exco Melaka yang baharu bagi penggal yang ke-15
“Seperti yang diketahui semua BN berjaya memperoleh kemenangan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka pada 20 November lalu.
“Kemenangan majoriti tiga per empat kerusi DUN ini bermakna sebagai bukti rakyat Melaka mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil sepertimana dijanjikan manifesto BN iaitu kestabilan demi kemakmuran,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, barisan gabungan muka lama yang berpengalaman dan juga muka baharu dari pelbagai latar belakang kali ini adalah yang terbaik untuk memaju dan memakmurkan lagi rakyat serta negeri Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sulaiman mengumumkan barisan Exco negeri Melaka diketuainya dengan portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.
Menurutnya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Tanjung Bidara) memegang portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri.
Sulaiman berkata, selain itu, muka baharu yang dilantik adalah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar) dan ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani).
Turut dilantik, ADUN Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO); ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan) dan ADUN Merlimau, Dr Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Antidadah);
Manakala, ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin (Exco Pendidikan dan Teknologi) dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).
Sementara itu, ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan; manakala ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman (Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir).
Menurut Sulaiman, Majlis Istiadat Pengurniaan, Angkat Sumpah Jawatan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka akan diadakan pada jam 3 petang hari ini di Balai Istiadat Seri Negeri. – Malaysiapost

