
MURID sekolah rendah wajib menjalani ujian saringan Covid-19 mingguan secara bergilir bermula isnin ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bertujuan mengelakkan wujud Kluster Pendidikan.
Katanya, ujian saringan itu adalah sebahagian daripada Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan.
“Murid sekolah rendah di bawah usia kelayakan untuk menerima vaksin, perlu menjalani ujian saringan secara mingguan.
“Ujian ini perlu dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 10 peratus sampel daripada populasi murid di sesebuah sekolah,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, murid akan menjalani ujian saringan secara bergilir bagi mendapatkan sampel berbeza setiap minggu untuk melihat wujud kesan gejala atau sebaliknya.
“Jika bergejala, sudah tentu mesti buat ujian tetapi kalau tidak bergejala pun, di sekolah rendah, mesti buat ujian sampel daripada populasi pelajar bagi memastikan tidak wujud kluster di peringkat sekolah,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan strategi itu, murid terbabit akan menjalani ujian kendiri Covid-19 dan dipantau oleh institusi sekolah. – Malaysiapost
