KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan
penjaga dan pelawat melawat dan menjaga pesakit di semua hospital berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu bagaimanapun diputuskan untuk beberapa kategori pesakit yang sedang menerima rawatan.
“Selepas mendengar rintihan daripada rakyat mengenai dasar lawatan bagi penjaga dan pelawat di hospital KKM, kita sudah memutuskan untuk membenarkan lawatan untuk beberapa kategori pesakit.
“Sebagai contoh, pesakit yang menghidap penyakit kritikal dan memerlukan penjagaan, pesakit tenat, kurang upaya, warga emas, yang memerlukan bantuan komunikasi membabitkan pesakit kanak-kanak, ibu dalam proses bersalin dan sebagainya,” katanya pada sidang media hari ini.
Senarai kategori pesakit boleh ditemani oleh penjaga atau melawat pesakit, iaitu:
- pesakit yang menghidap penyakit kritikal;
- pesakit yang memerlukan penjagaan palliatif;
- pesakit yang tenat (end of life);
- pesakit kurang upaya;
- pesakit warga emas;
- pesakit yang memerlukan bantuan komunikasi;
- pesakit kanak-kanak; dan
- ibu di dalam proses bersalin.
Pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menjaga pesakit mestilah:
- Berumur 18 tahun dan ke atas;
- Telah lengkap vaksinasi Covid-19
- Tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 (contoh: warga tua, mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah)
- Tidak disyaki menghadapi Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS)
- Tidak mempunyai gejala Covid-19.
- Mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan, bagi penjaga pula, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital dan disahkan negatif.
“Manakala individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin hendaklah menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen (dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital) atau RTK Antigen Saliva (semasa ketibaan di hospital) dan disahkan negatif.
“Bagi pesakit yang menerima rawatan pesakit luar atau Jabatan Kecemasan, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan.
“Sekiranya pesakit dimasukkan ke wad bukan Covid-19, seorang penjaga dibenarkan untuk menemani pesakit dan seorang pelawat dibenarkan sepanjang sesi lawatan,” katanya.
Beliau berkata, ujian Covid-19 menggunakan RTK-AG Saliva juga digalakkan sebelum lawatan.
Selain itu, katanya, bagi pesakit bukan Covid-19 yang sedang tenat (end of life) dan berada di wad, lawatan keluarga adalah dibenarkan namun ia terhad kepada dua orang dalam satu-satu masa dan bergantung kepada keadaan.
“Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit Covid-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat (end of life) sama ada pesakit di wad atau di Unit Rawatan Rapi di mana seorang pelawat sahaja dibenarkan pada satu-satu masa.
“Bagi tujuan menemani pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke wad, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan untuk menemani pesakit. Ini terhad kepada pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan penjagaan khusus,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan jika dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan Covid-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak itu di hospital, maka pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pihak, – Malaysiapost

