KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk turun padang bagi membuat tinjauan sama ada laporan mengenai kenaikan harga sayur sehingga mencecah 200 peratus itu benar ataupun palsu.
Beliau berkata, Datuk Rosol Wahid sepatutnya melihat sendiri situasi tersebut bagi menyelesaikan segera isu itu kerana melibatkan kehidupan rakyat.
“Wahai Timbalan Menteri KPDNHEP, turun dan saksikanlah sendiri realiti di bawah.
“Hakikatnya, rakyat merasai sendiri keperitan dengan kenaikan mendadak harga sayuran!,” katanya menerusi Facebook.
Semalam, menerusi laporan media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah merujuk kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, Rosol berkata, CAP tidak dapat memberi maklumat tepat mengenai isu yang didakwa itu kerana mereka hanya membuat kenyataan berdasarkan cakap dengar. – Malaysiapost

