Gambar tular berunsur negatif, polis buat laporan

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SATU laporan dibuat seorang pegawai polis dari Balai Polis Sungai Senam berhubung sekeping gambar berunsur negatif tular di sosial media berkaitan kejadian pergaduhan yang berlaku sehingga menyebabkan kematian di Jalan Ashby Ipoh, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya mengesan gambar tersebut di sosial media, yang memaparkan tindakan pegawai polis terbabit meleraikan kejadian pergaduhan berkenaan, sehingga mendapat perhatian masyarakat umum

Katanya, bertindak atas maklumat orang awam polis telah bergegas ke tempat kejadian.

“Polis berjaya meleraikan pergaduhan itu sebelum tangkapan terhadap tiga suspek dilakukan di tempat kejadian dan kesemua mereka dibawa ke balai polis.

“Walau bagaimanapun, gambar yang ditularkan memperlihatkan seolah-olah pihak polis tidak meleraikan pergaduhan itu.

“Tindakan pemilik akaun laman sosial media berkenaan mengeluarkan menyataan berunsur negatif tanpa mengetahui fakta sebenar adalah amat tidak bertanggungjawab dan dikesali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Yahaya berkata, siasatan dan pengesanan terhadap individu-individu yang merakam gambar kejadian itu sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar serta membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Perbuatan menyebarkan kenyataan tidak benar dan tohmahan tidak berasas, melalui kaedah tular di sosial media hingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat dikhuatiri akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Tiga individu berusia 34 hingga 60 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pemuda yang maut dipercayai dicekik dalam pergaduhan di hadapan sebuah warung di Pasar Pagi Flat Ashby, Sungai Senam, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi itu, Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut dalam pergaduhan dengan tiga lelaki itu yang dikatakan berpunca daripada isu kecurian pembesar suara mudah alih. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here