AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan cadangan seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mahu kerajaan mewujudkan sekolah perpaduan.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Syed Saddiq berkata, sekolah kebangsaan yang sedia ada kini tiada beza dengan sekolah perpaduan yang dicadangkan itu.
“Sekolah kebangsaan kita tak ada perpaduan, jadi kita kena bina sekolah perpaduan? Kalau isunya pada perpaduan, kenapa sekolah pula kena bina?
“Bukan patut kita didik cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar?,” katanya dalam hantaran itu.
Syed Saddiq berkata, sepatutnya cadangan diutarakan tidak hanya ‘gah pada nama’ kerana banyak lagi masalah lain di sekolah tidak diambil tindakan, termasuk isu guru yang membuat lawak lucah di dalam kelas.
“Bina MARA Digital Mall, akhirnya lingkup juga! Keluarga Malaysia, jangan cerita!
“Gulai sedap nasi mentah, nasi sedap gulai mentah,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan kerajaan mewujudkan sekolah perpaduan yang mempunyai pelbagai aliran diwujudkan bagi meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama.
Katanya, walaupun sekolah perpaduan mempunyai aliran kebangsaan, Cina, Tamil dan lain-lain, sekurang-kurangnya pelajar berada di dalam satu kawasan sekali gus berkongsi hidup dengan aman damai tanpa lupa asal usul.
Bung Moktar berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini. – Malaysiapost

