Bengkel alat ganti kenderaan terpakai hangus terbakar

0
1

SEBUAH bengkel barangan kenderaan terpakai Suzuka Autoparts hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Kampung Pasir, Taman Segambut, Kuala Lumpur, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu disedari beberapa pekerja di kawasan tersebut.

“Punca kejadian belum diketahui. Pihak bomba forensik sedang menjalankan siasatan terperinci.

“Kejadian berlaku lebih kurang jam 5.30 petang. Beberapa pekerja yang nampak kejadian itu.

“Setakat ini kerugian belum dapat diketahui,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bahagian Pusat Operasi Kuala Lumpur, dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.50 petang dan seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan operasi digerakkan dari lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Jinjang, BBP Sentul, BBP Sri Hartamas, BBP Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Taman Tun Dr Ismail, BBP Wangsa Maju dan BBP Seputeh dengan kekuatan 83 anggota bersama pegawai.

Komander Operasi PGB Muhamad Ridhwan Kamarulzaman berkata, kebakaran melibatkan kedai menjual alat ganti kereta terpakai (half cut) yang terbakar hampir 90 peratus.

“Operasi pemadaman melakukan teknik offensive dan defensive dengan membahagikan pasukan pemadam kepada beberapa bahagian untuk mengelakkan api merebak lebih besar.

“Tiada mangsa cedera dilaporkan setakat ini. Kerja pemadaman sedang dilakukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here