Terima kasih rakyat Melaka, undi PAS menyaksikan peningkatan – Tuan Ibrahim

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=414727036691265&set=pb.100044619150875.-2207520000..&type=3

MESKIPUN gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun PAS tetap bersyukur dengan prestasi yang dilakar parti itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata undi diterima di lapan kerusi yang ditandingi PAS menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

“Kepada semua pengundi rakyat Melaka, terima kasih atas undian yang diberikan.

“Kerusi-kerusi yang ditandingi oleh PAS menunjukkan peningkatan undi yang memberangsangkan. Alhamdulillah. Anggota dewan undangan negeri (Adun) yang telah dipilih rakyat, selamat menjalankan tugas dengan adil dan amanah,” katanya di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang merupakan Menteri Air dan Alam Sekitar itu tidak memperincikan butiran mengenai peningkatan undi yang diperolehi PAS itu. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh pemimpin dan ahli PAS yang bekerja keras sepanjang kempen lalu. 

“Terima kasih juga kepada para pendukung dan penyokong PN. Kita telah berusaha yang terbaik. Semoga Allah ganjari usaha dan pengorbanan yang telah diberikan,” katanya.

Pada PRN Melaka, PAS telah bertanding atas lambang Perikatan Nasional (PN) dan gagal membantu gabungan itu membentuk kerajaan negeri. 

PRN Melaka menyaksikan Barisan Nasional (BN) kembali mendapat mandat dua per tiga apabila menang 21 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri. 

Manakala, PN hanya berjaya menang di dua kerusi DUN iaitu Bemban dan Sungai Udang. Lima kerusi DUN dimenangi oleh Pakatan Harapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here