POLIS sedang mengesan pengiring (marshal) konvoi motosikal berkuasa tinggi yang tular di media sosial kerana bertindak memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu Isyarat Sua Betong, Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata rakaman video tular berdurasi satu minit sepuluh saat itu telah dimuat naik di laman sosial.
Menurutnya, video yang dimuat naik di akaun Facebook Epul Adam Helmet Bajet menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
“Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah. Tujuan tindakan marshal dipercayai untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.
“Pergerakan motosikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui Lampu Isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Aidi Sham berkata, polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan.
“Sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak IPD PORT Dickson di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222,” katanya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis turut menasihati kumpulan konvoi supaya tidak membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal atau melencong kenderaan dijalan awam tanpa sebarang kehadiran pegawai polis.
“Ia membahayakan diri sendiri pengguna dan menyekat kebebasan bergerak di jalan awam,” katanya. – Malaysiapost

