Kemenangan PRN Melaka bukti rakyat masih sayang BN, kata Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, membuktikan rakyat sudah kembali menyokong parti itu.

Justeru, beliau berkata, BN tidak akan mempersia-siakan kepercayaan rakyat terhadap parti, serta akan memberikan khidmat terbaik dalam memastikan kestabilan Melaka terjamin.

“Rakyat Melaka telah membuktikan kepada semua bahawa rakyat Malaysia masih sayangkan BN. Kerana itu orang Melaka kembali mencurahkan kasih sayang kepada BN dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Rakyat Melaka menjadi bukti yang nyata ramai rakyat Malaysia merindui pentadbiran kerajaan BN. Kerajaan BN yang pernah membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara dan negeri-negeri di Malaysia.

“Yakinilah BN pasti membalas kasih sayang yang telah diberikan rakyat Melaka dengan sepenuh jiwa dan raga,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, BN juga akan mengembalikan kehebatan dan kemakmuran Melaka seperti yang pernah dikecapi bersama sebelum ini.

“Dan semoga kejayaan ini berterusan di negeri-negeri lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan PRN Melaka merupakan kerjasama semua pihak tidak kira bangsa atau agama dan ia juga tanda kebangkitan semula BN.

“Saksikan juga kehebatan jentera BN di Melaka tua dan muda; lelaki dan wanita; Melayu, India, Cina bersama kaum-kaum lain. 

“Mereka melakar sejarah baharu BN bangkit kembali sebagai parti yang diyakini oleh rakyat Melaka. Kejayaan mereka kini tercatat dalam sejarah perjuangan BN yang sangat manis dan indah.

“Tahniah jentera BN, namun dalam kegembiraan ini jangan sesekali kita terlupa kepada Yang Maha Esa.Penentu kepada segala-galanya maka bersujud syukurlah kepadaNya atas kemenangan dikurniakan,” katanya.

Bagaimana, beliau berkata, perlu diingati bahawa kemenangan bukan sekadar kuasa mentadbir, tetapi sebuah amanah oleh rakyat Melaka yang amat besar ertinya.

“Kini masa untuk bergandingan bahu bersama memakmurkan dan memajukan lagi negeri bertuah ini,” katanya.

Beliau turut berharap Melaka akan terus maju di bawah kepimpinan Kerajaan BN.

“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim kau berkatilah, redhailah dan rahmatilah bumi Melaka.

“Lindungilah rakyatnya agar kembali aman makmur dan sejahtera dibawah pentadbiran kerajaan BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here