Ingat saya tak ada duit ke? TMJ bidas persepsi buruk terhadap JDT

0
2

KEKAYAAN kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan dibina hasil mengaut keuntungan daripada projek-projek di negeri Johor.

Pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan perkara itu serta membidas pihak tertentu yang cuba mencetuskan persepsi buruk terhadap kelab yang bergelar ‘Harimau Selatan’ itu.

Sebaliknya, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan di Instagram menegaskan, bahawa keluarga Diraja Johor sudah terbabit dalam perniagaan sejak 1897 dan pendapatan JDT turut disumbang dari segi penajaan.

“Ia bukan suatu perkara yang aneh yang perlu disembunyikan kepada rakyat. Keluarga Diraja Johor bukan baru-baru ini menjadi kaya mengangkut duit kerajaan atau duit rakyat.

“Bukan kaut hasil untung negara dan membawa lari keluar dari negara. Baru-baru ini ada ‘page’ (laman sosial) bola tidak rasmi yang diuruskan oleh individu yang menguruskan kelab bola sepak memainkan persepsi seolah-olah JDT menjadi kaya kerana mengaut projek-projek di Johor.

“Awak ingat saya ini tiada duit ke? Ini adalah kelab bola sepak paling berjaya dalam negara sejak sembilan tahun kebelakangan ini dari segi nilai komersial, pendapatan dari penaja tempatan dan antarabangsa, meraih kejuaraan dan pembangunan bola sepak,” catat TMJ.

Sementara itu, TMJ membidas kelab-kelab dalam Liga Malaysia yang menabur janji manis atau palsu kepada penyokong dengan menggunakan duit kerajaan.

“Ambil duit kerajaan, sedangkan negeri sendiri ada masalah air. Lebih baik peruntukan tersebut diguna pakai untuk memberi air kepada rakyat Selangor dan menjaga rakyat daripada memberi kepada Izhar Moslim yang menjaga kelab bola sepak Selangor seperti dimiliki olehnya, tetapi tiada apa-apa sejak enam tahun.

“Tiada duit, tiada nilai komersial, tiada piala dan tiada apa-apa. Nasihat saya, kepada pucuk kepimpinan dan seluruh pengurusan sila letak jawatan segera.

“Sampai bila nak menggunakan peruntukan negeri demi menguntungkan poket individu yang berada dalam kelab. Tak payah asyik seru penyokong untuk bersatu memberi sokongan sedangkan anda semua adalah punca kegagalan kelab,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here