BEKAS Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron memuji kecekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disifatkannya berjaya melaksanakan proses pilihan raya dengan cekap.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, berkata pengendalian begitu sistematik dan perjalanan mengundi amat lancar.
Jelas Idris, beliau sendiri hanya mengambil masa tidak sampai 20 minit mengundi di Sekolah Kebangsaan (C) Li Jen Klebang sebentar tadi.
“SPR berjaya mengendalikan PRN dengan baik walaupun pandemik Covid-19. Saya ‘angkat topi’ kepada SPR setakat ini, cuma apa yang kita harapkan adalah cuaca baik sepanjang hari ini untuk orang ramai keluar mengundi.
“Kepada pengundi, jangan takut keluar mengundi kerana sistem pengendalian yang teratur dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP ) yang ditetapkan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Namun situasi pula berbeza bagi Datuk Norhizam Hassan Baktee, yang menzahirkan rasa kecewa dengan proses pembuangan undi di Sekolah Rendah Agama JAIM, Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘YB Viral’ berkata, proses pengundian didakwa berjalan agak perlahan.
Katanya, meskipun dalam norma baharu, proses pembuangan undi seharusnya berjalan dengan cepat dan pengundi tidak perlu beratur panjang seperti yang apa berlaku di pusat itu.
“Saya sendiri terpaksa beratur hampir 20 minit untuk buang undi. Sepatutnya ia boleh dilakukan dengan cepat memandangkan situasi semasa yang tidak mengizinkan ketika.
“SPR perlu ambil perhatian dan segera bertindak dengan apa yang berlaku supaya tidak menyukarkan pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini,” katanya. – Malaysiapost

