85 pengunjung, pemilik premis hiburan dikompaun RM435,000

0
1

SERAMAI 85 pengunjung termasuk pemilik sebuah pusat hiburan dikompaun RM435,000 dalam serbuan di Kuchai Enterpreneur Park, Kuchai Lama, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata serbuan membabitkan 23 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Sri Petaling.

“Hasil serbuan yang dijalankan mendapati premis tersebut melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara bagi Kuala Lumpur.

“Kompaun bernilai RM25,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis, manakala sebanyak 82 pengunjung telah dikenakan kompaun bernilai RM5,000 setiap individu dan menjadikan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah bernilai RM435,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, menerusi serbuan yang sama juga seramai 91 orang pengunjung telah disaring ujian air kencing.

“Hasil keputusan mendapati seorang individu didapati positif di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Amihizam berkata, operasi seperti itu akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan warga Kuala Lumpur.

“Ia termasuk membantu usaha kerajaan dalam menghentikan penularan Covid-19 dalam negara kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here