KERAJAAN sepatutnya menuntut Datuk Seri Najib Razak memulangkan berbilion ringgit yang masih ‘dikawal’ bekas Perdana Menteri itu, dan bukan memperuntukkan RM100 juta untuk rumahnya, kata Veteran DAP Lim Kit Siang.
Malah, Kit Siang mempersoalkan adakah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob begitu ketandusan moral dan etika sehingga bersedia memperuntukkan RM100 juta untuk memberikan rumah kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
“Perlu ada komitmen daripada Kerajaan Ismail Sabri untuk tidak membelanjakan walau satu sen sekalipun untuk rumah RM100 juta Najib ini melainkan perkara ini diluluskan Parlimen.
“Kerana saya percaya, Ahli-ahli Parlimen PN (Perikatan Nasional) dan BN (Barisan Nasional)yang berfikiran baik juga pasti akan berasa jijik dengan idea RM100 juta wang rakyat digunakan untuk memberikan rumah kepada Najib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kit Siang turut mempersoalkan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan juga PAS dalam isu berkenaan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menyatakan sokongan penuh seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula memorandum persefahaman (MOU) kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) antara Kerajaan-Pakatan Harapan (PH) sekiranya perkara ini dilihat sebagai satu ‘cek kosong’.
“Ia satu perbelanjaan menjijikkan seperti rumah bernilai RM100 juta untuk Najib Razak, individu yang telah mengkhianati amanah rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi.
“Tidak ada mana-mana rakyat Malaysia yang baik yang boleh menyokong RM100 juta wang rakyat digunakan untuk memberikan rumah kepada Najib.
“Sedangkan beliaulah yang bertanggungjawab menyebabkan negara kita kerugian berpuluh, malah beratus billion ringgit akibat daripada 1MDB dan skandal-skandal lain,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kerajaan menerima permohonan Najib untuk mendapatkan rumah bernilai RM100 juta dan akan dimasukkan dalam bajet tambahan. – Malaysiapost

