PERTEMBUNGAN sengit dijangka berlaku di kawasan yang mempunyai percampuran pengundi selain daripada Melayu di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.
Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bercampur itu merujuk kepada kawasan yang mempunyai komposisi 50-69 peratus pengundi Melayu iaitu Rim, Kelebang, Rembia, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Asahan, Paya Rumput, Bemban, Duyong dan Gadek.
Ianya berdasarkan dapatan kajian Pola Pengundian dan Prediksi PRN Melaka oleh Panel Penyelidikan ILHAM Centre.
Dilihat kepada demografi DUN di Melaka, lokaliti di kawasan tersebut adalah bandar dan separa bandar, disebabkan itu pertimbangan pengundinya tidak terikat dengan parti semata-mata tetapi faktor calon dan isu sangat mempengaruhi.
“Manakala kawasan yang mempunyai pengundi Melayu bawah 50 peratus seperti Machap Jaya, Ayer Keroh, Bandar Hilir dan Kota Laksamana, dijangka tidak banyak perubahan walaupun peratusan keluar mengundi rendah.
“Ini bermaksud pengundi Cina masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH) berbanding parti kompenan Barisan Nasional (BN) iaitu MCA mahupun GERAKAN yang mewakili Perikatan Nasional (PN),” kata kajian itu.
Sementara itu, kawasan yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu dan ke atas, persaingan tertumpu kepada BN, Bersatu, PAS, PKR, dan Amanah untuk memenangi segmen pengundi di demografi kawasan tersebut.
Katanya, kawasan itu merangkumi 13 DUN iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Serkam, Ayer Molek, Sungai Rambai, Pantai Kundor, Sungai Udang, Taboh Naning, Lendu, Kuala Linggi, Telok Mas, Merlimau, Durian Tunggal.
“Rebutan ini adalah untuk mengabsahkan parti Melayu mana yang mendapat kepercayaan pengundi Melayu dalam pilihan raya kali ini,” katanya. – Malaysiapost

