Dulu Tun Fatimah, Tun Teja rakam sejarah, kini peluang Mas Ermieyati cetus perubahan

0
2

PENCALONAN Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Menteri Melaka bukti Perikatan Nasional (PN) mengangkat martabat wanita, kata Penyelaras Gerak Kerja PN Melaka, Badrul Hisham Shahrin atau Che’Gu Bard.

Beliau berkata sebagai negeri bersejarah, peranan srikandi tercatat kemas apabila nama seperti Tun Fatimah atau Tun Teja merakam sejarah peranan dan sumbangan bermakna dalam pembinaan sejarah bangsa.

Katanya, peranan wanita kian berubah seiring peredaran masa dan golongan ini berupaya menggalas tanggungjawab besar bukan sahaja untuk menjadikan Melaka, bahkan Malaysia sebuah negara maju dan progresif.

“Langkah PN menamakan seorang wanita sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang ke-13 adalah satu lagi langkah progresif setelah sebelum ini mengangkat wanita sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Mas Ermieyati bukanlah nama asing dalam kepimpinan politik tanahair. Beliau seorang pemimpin wanita berkelayakan, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman pentadbiran Kerajaan.

“Gaya kepimpinan ditonjol Mas Ermieyati itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan golongan wanita ini tidak boleh menjadi seorang pemimpin yang besar.

“Saya yakin Mas Ermieyati mampu mencetuskan perubahan kepada senario politik tanahair,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati yang juga calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sebagai calon Ketua Menteri jika PN diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Mengulas lanjut, Che’Gu Bard berkata ramai orang kagumi Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH).

Kini katanya, peluang di depan mata apabila warga Melaka perlu mengangkat wanita sebagai Ketua Menteri pertama dengan mengundi dan memberi kemenangan kepada PN esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here