PRN Melaka: Polis jamin hari mengundi selamat, terkawal

0
2

ORANG ramai khususnya warga Melaka tidak perlu bimbang untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, kerana keadaan adalah selamat dan terkawal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali, berkata pihaknya akan memastikan proses pilihan raya tersebut berjalan lancar dan selamat.

Beliau berkata, bagi menghadapi situasi pada hari mengundi, polis menggerakkan semua penugasan dalam kontinjen Melaka serta mendapat bantuan sumber manusia dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Sebagaimana sedia maklum, hari mengundi PRN Melaka 2021 ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 November 2021 bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang bagi membentuk kerajaan.

“Sehubungan itu, saya meminta semua pengundi yang layak mengundi untuk beramai-ramai menjalankan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi dan tidak perlu khuatir dan gusar akan keselamatan diri kerana PDRM kontinjen Melaka akan memastikan proses PRN berjalan lancar dan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis juga telah mengatur gerak kerja bagi menghadapi segala kemungkinan terhadap ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

“Polis memberi amaran untuk mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak atau individu yang cuba menimbulkan provokasi melampau hingga menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan negeri serta negara,” katanya.

Terdahulu, SPR memaklumkan seramai 476,037 pemilih akan mengundi pada PRN Melaka, esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka, serta 12,290 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here