PRN Melaka: Pengundi diingatkan ikut garis panduan khas mengundi – SPR

0
2

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka untuk mematuhi garis panduan khas ketika keluar mengundi esok.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

Katanya, cecair sanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi esok.

“Pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.

“Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan Garis Panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut memaklumkan pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

“Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

“Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian [Person Under Surveillance (PUS)] dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan [Person Under Investigation (PUI)] yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke Pusat Mengundi,” katanya.

Sementara itu, SPR mengingatkan semua parti politik yang bertanding dilarang berkempen selepas jam 11.59 malam ini termasuk di dalam media sosial.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here