Syaf Ziyad
POLIS belum menerima laporan berhubung beberapa kain rentang mengaitkan nama Datuk Seri Idris Haron dengan isu royalti pasir dinaikkan di bahu jalan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata polis bagaimanapun sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diturunkan.
“Setakat ini tiada laporan polis dibuat. Pihak polis maklumkan kepada PBT untuk turunkan kain rentang tersebut,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu beberapa kain rentang terpampang di bahu jalan mengaitkan Idris yang juga calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dengan isu royalti pasir.
Antara kain rentang tersebut tertulis “Idris Haron raja pasir”, “Idris menangis rakyat makan pasir” dan “The real raja pasir Idris Haron”.
Kain rentang tersebut dipercayai dinaikkan pihak tertentu sebagai ‘serangan’ saat-saat akhir menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri esok. – Malaysiapost

