SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan serta Singapura.
Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan terbaharu pada 12 November lalu, Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff
Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (Assets Recovery Trust Account) milik Kementerian Kewangan berjumlah AS$864,813.27.
Sebelum ini, menurut SPRM Kerajaan Singapura telah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta
kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.
“Sehingga kini, SPRM dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa telah berjaya memulangkan sejumlah RM20,530,433,626.97 kepada kerajaan Malaysia.
“Pada ketika ini juga, SPRM dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB,” katanya. – Malaysiapost

