PRN Melaka: ‘BN mampu tawan lebih 18 kerusi DUN’ – Sulaiman

0
2

BARISAN Nasional (BN) yakin mampu menawan lebih 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Perkara itu zahirkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang turut bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Beliau berkata, penerimaan pengundi di 28 kawasan DUN sejak hari pertama kempen sangat baik.

“Jentera BN juga sudah menjalankan tugas sebaik mungkin dalam mendekati pengundi di semua kerusi ditandingi.

“Alhamdulillah penerimaan pengundi baik sejak hari pertama kempen dan diharap dapat diterjemahkan pada hari pengundian esok,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar memilih kerajaan negeri yang benar-benar stabil, kukuh dan berpengalaman untuk mentadbir urus Melaka dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di peringkat awal lagi saya sudah minta jentera untuk sampaikan maklumat di bawah bahawa jika tidak keluar mengundi sekarang, tiada lagi pilihan raya negeri tahun depan.

“PRN esok adalah untuk memilih kerajaan negeri baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kalau kita tidak keluar mengundi maknanya kita kena tunggu sehingga 2026 baru boleh pilih kerajaan sekali lagi.

“Jika ada pilihan raya tahun depan sekalipun, ia hanyalah untuk memilih kerajaan persekutuan atau memilih ahli Parlimen dari Melaka,” katanya.

Esok baki 482,549 daripada jumlah keseluruhan 495,195 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN Melaka sekali gus membentuk kerajaan di negeri terbabit.

Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 11,557 adalah pengundi awal dan 7,601 mengundi secara pos.

Tumpuan PRN Melaka kali ini, menyaksikan tiga parti utama iaitu BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) merebut 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here