PAS kawasan Masjid Tanah menafikan mengeluarkan kenyataan mengenai arahan semua jentera PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang parti itu tidak bertanding, untuk beralih membantu DUN Kuala Linggi dan Taboh Naning.
Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman, berkata arahan sebenar adalah agar sebahagian petugas di DUN yang PAS tidak bertanding untuk membantu sementara di Kuala Linggi dan Taboh Naning sementara menunggu ketibaan petugas dari negeri lain.
“Ia bukan arahan agar semua jentera PAS di DUN yang PAS tidak bertanding untuk terus membantu jentera PAS di DUN Taboh Naning dan Kuala Linggi dan meninggalkan terus jentera Perikatan Nasional (PN) di DUN tersebut,” katanya.
Penjelasan itu berhubung kenyataan individu dalam siaran langsung bernama Mokhtar Razak yang membangkitkan tentang arahan PAS agar membantu jentera di Kuala Linggi dan Taboh Naning dan percanggahan arahan untuk mengundi parti mana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Imran berkata ketika berlangsungnya Muktamar PAS Pusat, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan arahan dengan jelas bahawa semua ahli dan penyokong PAS mesti mengundi calon PN sekiranya berlaku pertembungan dengan Barisan Nasional (BN).
“Tidak ada sebarang kekeliruan dalam hal ini. Ia telah difahami oleh semua ahli PAS.
“Walaupun mendakwa kononnya terdapat percanggahan arahan daripada pihak atasan PAS tentang perkara ini, namun, individu ini sendiri di dalam sidang media yang sama sendiri menyatakan bahawa memang ada arahan daripada Presiden PAS agar semua ahli PAS ‘solid’ mengundi calon PN.
“Ini jelas menunjukkan individu ini berniat jahat dan sengaja menimbulkan kekeliruan dan ingin memecahbelahkan dan merosakkan keutuhan jentera PN DUN Lendu,” katanya.
Mengulas lanjut, PAS Kawasan Masjid Tanah akan menghantar cadangan kepada PAS Pusat agar individu itu dipecat dan digugurkan keahliannya sebagai ahli PAS.
“PAS Kawasan Masjid Tanah juga menegaskan bahawa semua ahli dan penyokong PAS wajib patuh pada arahan parti untuk hanya mengundi calon PN dalam PRN Melaka ini,” katanya. – Malaysiapost

