PRN Melaka: 476,037 individu akan mengundi esok – SPR

0
2

SERAMAI 476,037 pemilih bakal mengundi di Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15, esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran akan dibuka, serta 12,290 petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.

“Sehubungan itu, SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, pengundi juga dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Namun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri esok.

“Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here