DATUK Seri Najib Razak menolak ganjaran hadiah berupa sebidang tanah dan rumah daripada kerajaan bernilai RM100 juta.
Najib berkata, beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengkaji semula Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 yang telah digubal pada 2003.
Katanya, penolakan itu dibuat selepas isu terbabit sengaja dimainkan pihak tertentu demi kepentingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Ya saya menolak tawaran tersebut tetapi saya mencadangkan dikaji semula peruntukkan ini untuk semua bekas Perdana Menteri dan peruntukkan telah diluluskan zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri,” katanya pada sidang media, hari ini.
Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul mengesahkan pertanyaan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan Kabinet meluluskan RM100 juta kepada Najib.
Mengulas mengenainya, Najib yang pernah menjadi Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018 berkata, beliau boleh memilih untuk tinggal di kediamannya selepas tidak menjadi Perdana Menteri.
Namun, katanya, disebabkan ada pilihan yang ditawarkan kepadanya atas kapasiti bekas Perdana Menteri beliau telah memilih untuk menerima tawaran tanah daripada kerajaan.
“Kalau bandingkan Yayasan Perdana tu dengan pejabat saya, ia macam orang kata jauh panggang dari api.
“Saya diberikan tiga option, jadi saya pilih option tu lah. Tapi saya tak nilai sebenarnya tanah tu. Bukan kerja saya nak menilai tanah. Kerja tu pihak berkuasa yang buatlah, lepas tu buat keputusan,” katanya pada sidang media di Melaka, hari ini.
Najib juga menafikan telah memohon wang sebanyak itu, sebaliknya menegaskan beliau hanya menerima tawaran tanah yang tidak tahu berapa nilainya atas kapasiti bekas Perdana Menteri.
“Sebab kesuaian tapak. Macam kita pergi nak beli tanah, kita tengoklah tanah tu sesuai serasi dengan kehendak kita kan.
“Kita tengok keadaan tanah tu orang kata tersorok ke atau tidak, macam mana kita nak beli tanah tu kalau kita rasa tak sesuai pada kita,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu mendakwa Dr Mahathir pernah memberitahu bahawa Yayasan Perdana di Putrajaya dibuka dan boleh digunakan oleh bekas-bekas Perdana Menteri.
Secara sinis Najib mengakui, kemungkinan beliau akan menggunakan Yayasan Perdana itu pada masa akan datang.
“Tak tahulah (Dr Mahathir mohon tanah) tapi dia pernah kata bahawa Yayasan Perdana tu boleh digunakan oleh bekas Perdana Menteri. Mungkin dia nak jemput saya guna Yayasan Perdana kot.
“Boleh juga saya pakai kot, sehari dua…,” katanya yang menjawab soalan wartawan mengenai kenyataan Dr Mahathir di Dewan Rakyat semalam yang mendakwa tidak pernah memohon atau diberikan tanah oleh kerajaan atas kapasiti bekas Perdana Menteri. – Malaysiapost

