Bayaran GKP Fasa 2 bagi PKS mikro bermula Selasa

0
2
Peniaga kecil

PEMBAYARAN Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 berjumlah RM500 bagi peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro akan dibuat mulai 23 November 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata komitmen kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bakal memanfaatkan lebih satu juta PKS mikro yang layak.

Menurutnya, bayaran itu adalah lanjutan daripada bayaran Fasa 1 sebanyak RM500 yang telah dibuat pada September lalu.

“Secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit akan menerima bayaran berjumlah RM1,000 di bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini akan melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.

Katanya, semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 22 November melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

“Untuk maklumat lanjut, penerima GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

“Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak Covid-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan berharap agar bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak itu dapat membantu aliran tunai di samping menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka yang merupakan sektor paling terjejas sepanjang pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here