MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk membatalkan saman bekas partinya itu yang menuntut RM10 juta kerana meninggalkan PKR.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Zuraida untuk membatalkan saman, selepas mendapati ada isu yang boleh dibicarakan dalam tuntutan tersebut.
Latifah dalam penghakimannya berkata, ia bukanlah suatu tuntutan yang boleh dibatalkan di bawah Aturan 18.k.19 KKM 2021.
“Mahkamah mendapati isu mengenai bon yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen Ampang itu, pada 25 April 2018 perlu dijelaskan dalam perbicaraan penuh.
“Beliau perlu memberikan keterangan sebab beliau menandatanganinya dan sama ada wujud syarat yang tersirat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.
Latifah berkata, saksi daripada kedua-dua pihak perlu memberi keterangan untuk menjelaskan tujuan bon tersebut dilaksanakan.
Justeru, mahkamah berpendapat adalah tidak wajar tuntutan ini dibatalkan di peringkat ini.
Susulan keputusan itu, mahkamah mengenakan kos RM5,000 terhadap Zuraida berhubung permohonan membatalkan saman PKR berkenaan tertakluk kepada fi alokatur.
Sementara itu, peguam Zuraida, Muhammad Nizamuddin Hamid, ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Sebelum ini, media melaporkan, PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September tahun lalu melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif.
PKR dalam pernyataan tuntutannya berkata, Zuraida menandatangani bon di mana beliau mengikat dirinya untuk membayar kepada parti sejumlah RM10 juta pada 25 April 2018.
Menurut parti itu, antara syarat bon ialah Zuraida bersetuju untuk membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari selepas berlakunya salah satu perkara antaranya, jika beliau meletak jawatan sebagai anggota parti.
Plaintif berkata, Zuraida juga perlu membayar wang itu jika beliau tidak mengemukakan surat untuk bertanding kerusi yang diperuntukkan kepadanya atas apa alasan atau selepas memenangi pilihan raya, atau bergabung dengan parti politik lain atau menjadi wakil rakyat Bebas. – Malaysiapost

