‘Bukan katak politik, kami hijrah tinggalkan kejahilan’ – Hamzah

0
2

DATUK Seri Hamzah Zainudin menyifatkan dirinya dan bekas pemimpin Umno yang melompat ke parti Bersatu sebagai penghijrahan meninggalkan parti yang dipimpin individu bermasalah.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka yang berbuat demikian bukanlah ‘katak politik’, sebaliknya mahu meninggalkan ‘kejahilan’.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemimpin dan ahli parti yang keluar Umno memilih Bersatu kerana melihat parti itu sebagai wadah yang lebih baik dalam usaha membantu rakyat.

“Ramai yang keluar dari Umno bukan katak politik, tapi nak berhijrah daripada kumpulan yang penuh dengan bermacam isu, yang pada satu ketika dipimpin oleh (Datuk Seri) Najib Razak sendiri.

“Itu menyebabkan orang lari daripada Umno. Berhijrah itu lebih baik untuk meninggalkan segala perkara jahil yang dilakukan oleh mereka, dan keluar daripada masalah itu untuk mencari tempat yang lebih baik untuk membantu rakyat,” katanya dalam satu temu bual yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Beliau yang menang atas tiket BN di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), mengatakan undi kepada PN dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah sama dengan mengundi katak politik.

Mengulas isu wajah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang lebih banyak terpampang di seluruh Melaka berbanding calon PN, Hamzah berkata ia menggambarkan keyakinan parti itu terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Katanya, BN dan PH yang mempersoalkan perkara itu patut ‘malu’ dengan tindakan parti mereka kerana tidak mempamerkan gambar pengerusi masing-masing sepanjang kempen PRN Melaka.

“Mereka tak berani letak sebab takut orang kata, inilah individu bermasalah yang akan memimpin calon mereka nanti.

“Analoginya seperti penyu yang simpan kepala dalam cengkerang. Kita berani letak gambar ‘Abah sayang Melaka’ kerana nak tunjukkan dialah (Muhyiddin) yang akan pimpin, nasihat calon PN nanti.

“Mungkin mereka malu nak letak gambar presiden parti mereka sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here