ORANG Melaka perlu menggunakan hak mengundi dengan bijak, memilih bakal kerajaan negeri yang dapat membela denyut nadi rakyat, sekali gus memakmurkan ekonomi mereka.
Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru pengundi menunaikan tanggungjawab esok sambil mengimbas detik segala kesusahan yang ditempuhi mereka, akibat pergaduhan sesama sendiri pemimpin politik.
Beliau juga mengingatkan pengundi bahawa PRN ini bukan seperti pemilihan rancangan realiti televisyen ‘Akademi Fantasia’, sebaliknya undian mereka esok bakal menentukan nasib jatuh bangun rakyat negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Ini bukan pemilihan Akademi Fantasia, tapi pemilihan kerajaan untuk lima tahun.
“Ini pemilihan untuk lima tahun dan PRU (Pilihan Raya Umum) itu belum tentu lagi. Jadi, keluar mengundi esok dan gunakan hak anda.
“Pasal Covid-19 ini, ia macam pergi pasar. Pakai pelitup muka dan hidung, guna sanitasi tangan, jadi jangan takut untuk keluar mengundi,” katanya dalam wawancara khas yang disiarakan secara maya di Facebook, malam ini.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional itu juga berkata, sudah tiba masanya rakyat mengembalikan mandat kepada BN sebagai parti yang mempunyai rekod prestasi dan pengalaman mentadbir negara selama ini.
“Bila mandat diberikan oleh rakyat, BN boleh tubuhkan kerajaan yang mengandungi satu pasukan pentadbir baru, yang mempunyai pengalaman dalam pelbagai bidang profesional bagi memantapkan tadbir urus negeri,” katanya. – Malaysiapost

