‘Saya bukan bercakap dengan anak raja, saya bercakap dengan pemilik JDT’

0
1
https://www.facebook.com/photo?fbid=4844407908917032&set=pcb.4844385775585912

TIADA istilah anak raja di atas padang bola, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung tindakannya saling berbalas kritikan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu bola.

Katanya, beliau tidak sama sekali mendehaka kepada TMJ kerana kenyataannya hanya membabitkan antara dua pemimpin pasukan bola sepak, bukan antara rakyat dan anak raja.

“Di padang bola ni, kita sama rata. Ini ada orang pertikai kata cakap dengan anak raja macam tu macam ni, saya kata saya bukan bercakap dengan anak raja, saya bercakap dengan pemilik JDT. Saya presiden KFA.

“Jangan kata saya derhaka pula. Main bola apa kira derhaka tak derhaka? Kalau tak, nak score (jaringkan) gol kena angkat sembah dulu, ‘mampuih’ la kita, nak lawan macam mana, kan?

“Main bola cara bolalah. Janganlah ambil hati pula. Padang bola adalah padang bola. Jangan heret bola masuk istana,” katanya dalam sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita, menjelaskan tentang pemindahan bekas seorang pemain Kedah ke JDT, yang katanya masih belum dibayar sehingga sekarang.

Balas-membalas kenyataan antara keduanya bermula dengan sindiran Tunku Ismail berhubung isu tunggakan gaji pasukan Kedah, yang mempersoalkan apakah ia hanya akan dibayar jika bertemu dengan JDT.

Perkara itu dinafikan Sanusi dalam sidang media, menyatakan bahawa Kedah membayar gaji pemainnya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Sanusi Md Nor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here