MEMBALAS kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri ketujuh, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan sekurang-kurangnya 10 sumbangannya kepada negara ketika memimpin kerajaan.
Secara sinis, Najib meminta Mahathir menyanggah apa yang ditulisnya, selain menegaskan anaknya tidak menjadi “bilionaire” seperti mana anak bekas Perdana Menteri keempat itu.
“Malah pejabat bekas Perdana Menteri saya cuma satu banglo disewa di Bukit Pantai. Bukan kompleks besar macam Perdana Leadership Foundation Mahathir.
“Anak-anak saya pun bukan ‘bilionaire’ macam anak-anak dia. Lalu, dia tanya apa jasa saya sebagai PM? Tak ada apa-apa pun jasa saya,” katanya Najib di Facebooknya yang turut menyenaraikan 10 sumbangan besarnya pada negara.
Najib mendakwa antara sumbangannya pada negara, !enyelamatkan ekonomi negara daripada “The Great Global Recession tahun 2008 hingga 2010”, kadar pertumbuhan ekonomi antara paling tinggi dirantau ASEAN, merekodkan pelabur asing paling tinggi dalam sejarah dan aset negara naik RM1.2 trilion dari RM800 bilion ke RM2 trilion dari tahun 2008 ke 2017.
Terdahulu, di Dewan Rakyat Mahathir mempersoal permohonan hadiah dari Najib kepada kerajaan yang bernilai RM100 juta.
Mengulas mengenai permohonan itu, Najib berkata beliau memohon seperti mana terkandung dalam akta yang dipinda semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Mengulas mengenai dana sebanyak RM642 juta yang beliau terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi, Najib berkata semuanya disalurkan untuk kegunaan kebajikan dan program until rakyat.
“Jika saya tamak, saya dah ambil RM100 juta dari RM642 juta itu untuk beli rumah besar-besar seperti rumah kamu di The Mines, projek kroni kamu. Masih lagi baki RM542 juta untuk beri pada Rakyat.
“Tapi saya tak buat begitu pun. Sebab itu Mahathir masih penuh dengki dengan saya. Sebab saya langsung tak ada sebarang jasa atau pencapaian.
“Nak pertikaikan apa yang saya tulis di atas ini, dipersilakan Mahathir,” kata Najib lagi- Malaysiapost

