Jangan bazirkan undi PN, PH – Najib

0
2

PENGUNDI Melaka perlu memberi mesej dan isyarat yang jelas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini dengan menolak parti atau gabungan yang mempunyai ‘katak politik’.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, katak-katak politik tidak boleh diterima sama sekali dan dibiarkan berleluasa jika Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) dipilih dalam PRN kali ini.

“Jika undi diberikan kepada PN atau PH, ini bermakna katak-katak politik diterima dan saya bimbang amalan ini tetap berterusan dan berleluasa.

“Undilah parti yang diyakini mampu membawa pembangunan dan pemulihan sebenar kepada ekonomi Malaysia. Inilah yang amat diperlukan rakyat pada masa ini,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya, malam ini.

Menurutnya, jika direstui rakyat BN ingin bersama-sama rakyat Melaka mengembalikan kestabilan demi kemakmuran.

“Apa pun pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Melaka perlu diberi fokus utama oleh kerajaan negeri baharu selepas PRN ini kerana telah ketinggalan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya.

Najib berkata, jika merasa mana-mana gabungan tiada harapan untuk menang secara keseluruhan maka jangan beri undi atau bazirkan undi kepada gabungan itu.

“Jangan bazir dan pecahkan undi kerana kita mahukan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dengan majoriti lebih besar.

“Ianya lebih perlu dan praktikal bagi rakyat Melaka sekiranya sebuah kerajaan negeri lebih berpengalaman dengan majoriti lebih besar dan sehaluan dengan kerajaan Pusat ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata, ketidakstabilan politik adalah antara punca utama ekonomi Melaka dan Malaysia terjejas sejak PRU-14.

“Sama-sama kita pastikan kemenangan BN, kemenangan rakyat di Melaka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here