Kedah muktamad tutup premis judi

0
3
https://www.facebook.com/N24MuhammadSanusiMdNor/photos/1477257762658181

KEPUTUSAN Kedah tidak mengeluarkan lagi lesen bagi premis perjudian adalah muktamad dan perbincangan lanjut mengenainya tidak diperlukan, tegas Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, kepimpinannya akan menutup semua ruang perkara negatif yang merugikan rakyat Kedah walaupun dianggap kecil seperti isu judi.

Menurutnya, isu perjudian juga bukanlah berkaitan dengan orang bukan Islam atau isu agama dan kaum, tetapi ia isu yang memudaratkan masyarakat.

“Ini isu lesen premis perjudian, tiada sangkut paut dengan kaum atau agama. Bukan saya menafikan hak orang bukan Islam, saya nak mewujudkan suasana yang harmoni dalam kalangan masyarkat.

“Tidak ada lagi siapa-siapa di Kedah ni yang terkesan daripada penyakit tahi judi ni. Dia menghabiskan wang pada tempat yang salah. Dia pergi tikam-tikam dia balik, pasang angan-angan.

“Lepas tu tak kena, esok dia cari kerja, jual besi buruk, dapat RM50 semua pergi beli nombor ekor…anak isteri tak terbela. Balik takda wang, pukul anak pukul isteri,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, masalah judi telah berlarutan begitu lama dan semua faham, kesan buruknya yang berlaku pada semua masyarakat.

“Saya tahu orang Cina pun tahu pasal kesan buruk dia. Saya bukan maksudkan ini hal masyarakat Cina tetapi hal di Kedah, orang Melayu pun ada, orang Siam pun ada dan orang India pun ada.

“Saya tidak ada sangkut paut hal ini dengan bukan Islam, tetapi nak masyarakat Kedah tak kira bangsa, tak kira agama, dapat hidup aman harmoni,” katanya.

Menurutnya, isu kebimbangan jika premis judi berlesen ditutup maka akan menyebabkan premis judi tanpa lesen akan wujud berleluasa akan ditangani kemudian.

“Jangan kata ini (judi) sedikit sahaja…sedikit pun kita kena tutup… Alasan kata nanti pusat judi tanpa lesen akan wujud berleluasa, itu hal lain.

“Yang berlesen kita tutup dahulu, kemudian kita tangani yang haram pula,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Sanusi Md Nor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here