SEBANYAK 88 kes baharu varian dilaporkan setakat hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai varian yang membimbangkan (VOC) dan varian yang perlu mendapat perhatian (VOI) adalah 3,918 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah keseluruhan yang dikesan itu, 3,898 kes adalah VOC, manakala 20 kes adalah VOI.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sebanyak 88 kes baharu varian dilaporkan dengan Faculty of Medicine (FOM-UM) telah mengenal pasti sebanyak 65 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2).
“UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM) pula telah mengenal pasti sebanyak 23 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 3,658 kes varian Delta;
226 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.
“Bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak sembilan kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 5,867 kluster dikesan di Malaysia sejak wabak Covid-19 melanda negara.
“Jumlah kluster yang telah tamat adalah 5,621 kluster dan kluster masih aktif kini sebanyak 246 kluster,” katanya.
Beliau berkata, daripada 6,380 kes harian yang dilaporkan hari ini, 98 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 6,282 kes atau 98.5 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua. – Malaysiapost

