JASA Umno selama 60 tahun kepada pembangunan negara bukan persepsi atau propaganda politik.
Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, kemakmuran negara hari ini dari segi pembangunan fizikal, pendidikan dan spritual telah terbukti kerana pentadbiran Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan.
Katanya, sebagai sebuah negara yang dikira masih awal kemerdekaannya, Malaysia antara negara yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Oleh itu, saya menyeru kepada adinda puteri-puteri Melaka dan rakyat Melaka amnya agar memberikan mandat sekali lagi kepada BN untuk mentadbir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zahida berkata, kekangan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak menjejaskan Puteri Umno membantu rakyat mengenali calon Umno-BN yang akan bertanding dengan iltizam agar memenangi pilihan raya kali ini.
Menurutnya, Puteri Umno mendekati rakyat tanpa membelakangkan SOP Covid-19 agar rakyat sedar pentingnya mereka keluar dan mengundi BN untuk kemakmuran dan masa depan generasi rakyat Melaka.
“Puteri Umno memastikan rakyat Melaka dapat memilih kerajaan yang mampu memberikan keharmonian dan impak ekonomi untuk kestabilan demi kemakmuran kepada rakyat,” katanya.
Tarikh mengundi bagi PRN Melaka ditetapkan pada 20 November ini, manakala undi awal telah berlangsung Selasa lalu. – Malaysiapost

