Farzana mampu cetus gelora kebangkitan anak muda – Anwar

0
1

DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin Farzana Hayani, calon muda diketengahkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mampu mencetuskan gelora kebangkitan anak muda.

Pengerusi PH itu berkata meskipun ramai memandang enteng, pencalonan Farzana yang berusia 21 tahun, mampu memberi kesedaran dalam kalangan anak muda bahawa politik dan kekuasaan tidak hanya tanggungjawab mereka yang lebih berusia.

Katanya, anak muda harus ada kesedaran politik sedari awal tidak hanya untuk merebut kuasa yang berselirat dengan intrik, tetapi mesti tegakkan amanah dan perteguh nurani membela rakyat.

“Medan PRN di Melaka ini mesti menjadi pencetus dan tonggak penting dalam mengangkat peranan anak muda seluruhnya dan tidak sekadar retorik merebut undi.

“Para pemimpin sedia ada mesti beri ruang dan galakan pada anak muda mencambah idea-idea baharu, perkukuh budaya berfikir serta pertingkat minat terhadap ilmu pengetahuan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Anwar yang juga Presiden PKR mengiringi aktiviti kempen Farzana, calon termuda pada PRN Melaka.

Farzana yang mewakili PKR adalah mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here