POLIS membuka kertas siasatan berhubung tindakan dua wanita warga asing melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka di taman KLCC, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata hasil penelitian ke atas gambar berkenaan menunjukkan wanita bukan warganegara itu tidak memakai pelitup muka di laluan pejalan kaki taman KLCC.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuka satu kertas siasatan mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Noor Dellhan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Sehubungan itu, orang ramai, dinasihat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.
Terdahulu, seorang pengguna laman Twitter memuat naik hantaran mempersoal penguatkusaan SOP di taman KLCC selepas terdapat dua wanita warga asing bersiar-siar tanpa memakai pelitup muka. – Malaysiapost

