AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut membantu dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terutama melalui media sosial bagi calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan sempat meluangkan masa berkunjung ke Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas malam tadi.
Perkara itu dikongsikan beliau dalam satu ciapan di laman Twitternya dan memaklumkan kunjungan itu bagi membantu calon BN N23, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
“Sempat membuat rakaman video untuk kempen media sosial bagi membantu sahabat lama saya
@RazakRahmanN23 yang bertanding di DUN Telok Mas, Melaka.
“Datuk Razak adalah calon tempatan yang berwibawa dan rajin bekerja di lapangan,” katanya.
PRN Melaka menyaksikan kempen banyak dijalankan melalui media sosial susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat ditetapkan kerana pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Khairy sebelum ini mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021, menurut ketetapan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kerusi N23 Telok Mas menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (PN-Bersatu); Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas/IND); Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH-Amanah) dan Abdul Razak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerusi berkenaan dimenangi Datuk Noor Effandi Ahmad (PH-Bersatu) dengan majoriti 1,288 undi sebelum menjadi Bebas pada 2021. – Malaysiapost

