PEMBATALAN projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura oleh kerajaan sebelum ini merugikan rakyat termasuk di Melaka dan perlu dipertimbangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan pembatalan itu sebgai pengkhianatan kepada rakyat setelah perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dileburkan hanya kerana dendam politik.
Menurutnya, apabila Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), banyak projek mega zaman BN dibekukan walaupun kontrak sudahpun dimeterai.
“Antaranya projek HSR yang dalam perancangan kerajaan BN terdahulu, rakyat Melaka antara penerima manfaat besar daripada projek ini terutamanya apabila Ayer Keroh dijadikan antara tuju stesen utama.
“Malangnya apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda PH yang pernah beliau dokongi dengan membatalkan terus HSR yang menghubungkan Singapura,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi medakwa kesannya, Melaka sebagai negeri yang bergantung sepenuhnya kepada industri pelancongan terlepas peluang besar untuk dipacu ekonominya dengan lebih hebat apabila HSR dibatalkan.
Katanya, pembatalan juga merencatkan perkembangan industri pelancongan Melaka terutamanya pelancong-pelancong daripada Singapura yang membawa bersama potensi kemasukan dana berbilion dollar Singapura.
“Ini tidak termasuk pulangan besar kepada ekonomi melaka yang bakal dibawa pelancong asing yang boleh transit ke Melaka untuk beberapa hari dalam perjalanan antara SIngapura-Kuala Lumpur.
“Integrasi ekonomi dua ibu kota ini akan menarik pelaburan asing bernilai tinggi dan bakal mewujudkan lebih 110,000 peluang pekerjaan yang boleh dinikmati bersama oleh rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata, limpahan keuntungan daripada pembangunan Bandar Malaysia yang dianggarkan mencecah lebih RM200 billion juga terlepas daripada untuk dinikmati rakyat Melaka.
“Jangka panjang, ‘connectivity’ atau jaringan perhubungan yang terbina daripada HSR ini akan melimpahkan kekayaan dan kemakmuran kepada rakyat Melaka di samping menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Tempoh pembinaan HSR sendiri akan memberikan peluang pekerjaan di dalam sektor Rel Berteknologi Tinggi kepada anak-anak muda professional lebih-lebih anak Melaka kerana Ayer Keroh adalah antara stesen utama,” katanya.
Menurutnya, HSR akan membawa Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) kepada kawasan sepanjangan jajarannya seperti pembukaan kawasan perumahan, komersil dan industri baru, sekaligus mencambah kekayaan rakyat Melaka.
“Namun semua fakta kemakmuran yang direncanakan oleh Kerajaan BN terdahulu begitu mudah dileburkan hanya kerana dendam politik PH dan Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya ‘memangsakan’ rakyat Melaka.
“Bukankah ini satu pengkhianatan terbesar buat rakyat Melaka?” soalnya.
Beliau berkata, lebih malang apabila rakyat terpaksa menanggung kos sebanyak RM320 juta akibat pembatalan dibuat oleh ‘Abah’ (Muhyiddin) sebagaimana didedahkan seorang Menteri Singapura pada Januari 2021 di Parlimen Singapura,.
“Justeru, rakyat Melaka apakah pengkhianatan seperti ini bukti abah sayang Melaka sebagaimana yang terpampang di poster-poster dan billboard seluruh Melaka ketika ini. Atau sebenarnya lebih tepat abah ‘sailang’ Melaka?” katanya. – Malaysiapost

