
LEMBAGA Siasatan Khas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti secara terperinci punca kemalangan melibatkan pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlaku malam tadi.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya dan orang awam akan mendapat maklumat terperinci mengenai insiden kemalangan itu menerusi Lembaga Siasatan Khas terbabit dari semasa ke semasa.
“Siasatan menyeluruh mengambil kira faktor operasi dan latihan serta perihal teknikal akan dijalankan secepat mungkin.
“Saya juga telah mengarahkan Timbalan Panglima Tentera Udara untuk turun ke lokasi kejadian.
“Beliau telah pun berada di sana dan akan turut melawat pegawai yang tercedera di Hospital Seberang Jaya.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan kini Mejar Mohd Fareez berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan segera menghulurkan apa jua bentuk keperluan bagi memastikan aspek kebajikan keluarga kedua-dua pegawai terlibat diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, ia termasuklah melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) yang diuruskan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia MINDEF.
Dalam pada itu, beliau berkata, jenazah Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Muadzam Shah, Pahang.
“Urusan pengkebumian akan dilakukan oleh Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.
“Sekali lagi saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga pegawai yang terkorban, Allahyarham Kapten Mohamad Affendi serta pegawai yang tercedera, Mejar Mohd Fareez.
“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama memanjatkan doa, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan semoga ahli keluarga kedua-dua pegawai tabah mendepani ujian yang amat berat ini. InsyaAllah,” katanya.
Dalam kejadian jam 10.07 malam tadi pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM bersama dua juruterbang dilaporkan terhempas dan meletup di Pangkalan Udara Butterworth.
Kemalangan itu mengorbankan Kapten Mohamad Affendi yang merupakan juruterbang di No 6 Skuadron Pangkalan Udara Labuan dan berasal dari Bandar Tun Razak, Pahang.
Manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang merupakan Ketua Flait Penerbangan di No 15 Skuadron dan berasal dari Dengkil, Selangor telah mengalami kecederaan. – Malaysiapost
Sumber Foto: Media sosial
