Syaf Ziyad
BARISAN Nasional (BN) yakin membentuk kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini dengan kekuatan jentera parti yang lebih tersusun, bersistematik dan berstruktur sekalingus menarik pengundi untuk memilih calon BN.
Pengarah Jentera BN Parlimen Jasin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, rakyat juga dilihat telah mula sedar atas kesilapan mereka yang terpengaruh propaganda dan fitnah disebar pembangkang.
Sehubungan itu, jelasnya, rakyat tidak seharusnya mengulangi kesilapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebaliknya harus membantu kemenangan calon-calon BN yang terbukti telah membela nasib rakyat sejak lebih 60 tahun lalu.
“Memenangkan BN adalah satu kemestian jika rakyat ingin melihat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar dan pelbagai bentuk pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan.
“Lihat sahaja apa yang dibangunkan di Sungai Rambai, kita ada Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), ini semua untuk keselesaan dan kemudahan rakyat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Rambai, Jasin hari ini.
Hasan yang juga Ketua Umno Bahagian Jasin berkata, jika rakyat mahu mengekalkan semua kemudahan itu, mereka harus memastikan kemenangan semua 28 calon BN dan bukan sahaja di lima DUN di Jasin.
“Saya yakin BN mampu mempertahan empat DUN yang dimenangi pada PRU14 iaitu Rim, Sungai Rambai, Serkam dan Merlimau.
“Malah bagi DUN Bemban pula, tidak mustahil BN mampu merampas kembali kawasan tersebut yang terlepas kepada pembangkang pada 2018,” katanya. – Malaysiapost

